Perang Vietnam telah memusnahkan kebanyakan ekonomi Vietnam. setelah merampas kuasa, Kerajaan memperkenalkan ekonomi terancang untuk negara. Pengkolektifan ladang-ladang, kilang-kilang dan modal ekonomi dilaksana, dan berjuta-juta rakyat diberi kerja di bawah rancangan kerajaan. Selama berdekad-dekad, ekonomi Vietnam diselubungi ketidakcekapan dan rasuah dalam rancangan negeri, mutu rendah dan kurang pengeluaran serta sekatan terhadap kegiatan ekonomi dan perdagangan. Ekonomi Vietnam juga dikenakan larangan perdagangan oleh Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah selepas Perang Vietnam. Kemudiannya, rakan-rakan dagang blok-blok Komunis mula menghakis. Pada tahun 1986, Kongres Parti Keenam memperkenalkan pembaharuan ekonomi penting dengan unsur-unsur ekonomi pasaran sebagai sebahagian pakej pembaharuan ekonomi meluas iaitu "đổi mới" (Pengubahsuaian). Pemilikan swasta digalakkan dalam sektor perindustrian, perdagangan dan pertanian. Vietnam mencapai sekitar pertumbuhan KDNK setahun sekitar 8% dari tahun 1990 hingga 1997 dan berterusan pada sekitar 7% dari tahun 2000 hingga 2005, menjadikannya ekonomi kedua paling pesat bertumbuh di dunia. Serentak dengan ini, pelaburan asing bertumbuh tiga kali ganda dansimpanan tempatan pula lima kali ganda. Industri pembuatan, teknologi maklumat dan teknologi tinggi membentuk sebahagian besar dan berkembang pantas dalam ekonomi negara. Sungguhpun masih agak baru menceburi bidang penghasilan minyak, namun pada masa kini Vietnam sudah menjadi pengeluar minyak ketiga terbesar di Asia Tenggara dengan keluaran 400,000 tong sehari. Vietnam ialah antara ekonomi paling terbuka di Asia: perdagangan dua hala bersamaan dengan kira-kira 160% KDNK, lebih dua kali ganda nisbah untuk China dan lebih empat kali nisbah untuk India.[1]
Vietnam masih merupakan negara yang agak miskin dengan KDNK sebanyak US$280.2 juta pada pariti kuasa beli (anggaran, 2006, Sumber: unit Economist Intelligence), iaitu ~US$3,300 per kapita (US$726 pada kadar tukaran pasaran). Kadar inflasi dianggarkan pada 7.5% setahun pada tahun 2006. Kuasa perbelanjaan awam dilihat banyak bertambah. Kemiskinan tegar, iaitu satu peratusan penduduk yang menyara hidup dengan cuma kurang $1 sehari, turut banyak menurun dan kini lebih kecil berbanding kadar yang serupa di China, India, dan Filipina. Sebagai kesan beberapa langkah pembaharuan tanah, Vietnam kini merupakan pengeluar kacang gajus terbesar dengan satu pertiga keluaran dunia serta pengeksport beras kedua terbesar di dunia selepas Thailand. Vietnam mengalami peratusan kegunaan tanah tertinggi untuk tanaman kekal, iaitu 6.93%, di kalangan negara-negara rantau Subkawasan Mekong Raya. Selain beras, hasil eksport penting yang lain termasuk kopi, teh, getah, dan hasil perikanan. Bagaimanapun, bahagian pertanian dalam keluaran ekonomi makin berkurangan, iaitu merosot sebagai bahagian GDP dari 42% pada tahun 1989 kepada 20% pada tahun 2006, kerana pertumbuhan pengeluaran dalam sektor-sektor lain dalam ekonomi. Menurut CIA World Fact Book, kadar pengangguran di Vietnam antara yang terendah di dunia iaitu pada 2%, hanya mengekori Azerbaijan, Cuba, Iceland, Andorra dan Liechtenstein. Antara langkah-langkah lain yang diambil dalam proses peralihan kepada ekonomi pasaran, pada bulan Julai 2006 Vietnam mengemaskini perundangan harta inteleknya agar mematuhi TRIPS. Vietnam diterima masuk ke dalam WTO pada 7 November 2006. Rakan dagang utama Vietnam termasuk Jepun, Australia, negara-negara ASEAN, A.S. dan negara Eropah Barat.
No comments:
Post a Comment